MANCHESTER - Alex Ferguson menyifatkan rehat perlawanan antarabangsa tiba pada masa yang tepat ketika Manchester United berusaha keras untuk merampas kejuaraan Liga Perdana.
United mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Bolton kelmarin hasil jaringan lewat penyerang dari Bulgaria, Dimitar Berbatov di Old Trafford, membolehkan mereka mendahului lima mata ke atas Arsenal untuk berada di takhta liga.
Mereka meraih kemenangan ini tanpa 10 pemain utama yang cedera dan digantung, manakala dalam perlawanan tersebut United turut kehilangan Jonny Evans pada minit ke-75 akibat diperintah keluar padang kerana mengasari pemain tengah Bolton, Stuart Holden.
Bagaimanapun, United sekarang mempunyai rehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dan Ferguson berharap dapat memperoleh semula pemain utamanya dalam tempoh tersebut sebelum menyambung semula perlawanan liga menentang West Ham bulan depan.
"Kami mendahului liga dengan hebat, mereka mempunyai satu perlawanan tetapi kami mempunyai kelebihan mata jadi kami tidak risau tentang perkara itu, apabila kami mendapat semula pemain utama yang pulih daripada kecederaan.
"Park Ji-Sung, Nemanja Vidic, Darren Fletcher, diharap mampu kembali dan dari masa ke semasa kami dapat menurunkan semua pemain utama," kata Ferguson.
Keadaan menjadi bertambah buruk buat United apabila Wes Brown terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat kecederaan, manakala Evans akan digantung tiga perlawanan gara-gara kad merah.
United mempamerkan permainan yang kurang menyerlah ketika menentang Bolton dan kembali mempertingkat rentak permainan selepas mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
"Saya rasa sokongan yang diberikan juga menakjubkan, kehilangan seorang pemain di atas padang menyebabkan kami lebih bersemangat dan sokongan penonton juga membantu kami berusaha lebih keras.
"Kami berdepan lima perlawanan yang sukar dalam beberapa minggu sebelum ini dan pemain yang menempuhi ranjau ini layak dipuji.
"Ia bukanlah prestasi 100 peratus yang kami pamerkan tetapi kami tidak menyerah kalah. Inilah perwatakan yang hebat dari kelab ini. Tidak ada kelab lain dalam negara ini yang mempunyai perwatakan seperti ini," katanya. - AFP

No comments:
Post a Comment